2024.08.07 – Menyertai Bengkel Strategi Pengislaman 2025

2024.08.07
Bengkel Strategi Pengislaman 2025
MAIS Klang, Selangor
Pengiring: Baby princess sebab ummi ada appointment kat Hospital Shah Alam.

Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk bersama-sama dengan pengurus Pusat-pusat Pengislaman MAIS di Wisma MAIS, Klang untuk sesi perbincangan mengenai strategi pengislaman 2025. Pengisian disampaikan oleh Pn Hajah Dr Norraini Nordin, Pengarah Strategi Korporat.

Antara faktor yang menghalang untuk pusat pengislaman capai KPI yang dikehendaki (rumusan dari gerak kerja berkumpulan – 4 kumpulan):

  1. Operasi. Oleh kerana pusat-pusat pengislaman bergerak atas dasar sukarela, maka menjadi kesukaran untuk dapatkan tenaga kerja yang ramai. Juga oleh kerana melibatkan kebajikan mualaf, ramai yang tidak berkesanggupan untuk bersama-sama. Masa, tenaga dan wang ringgit.
  2. Kebajikan Pegawai. Pengurusan elaun untuk setiap pusat haruslah lebih fleksibel dan mudah. Juga menjadi kesukaran kerana elaun didebitkan ke akaun masjid, yang mana tanpa surat rasmi dari MAIS, pusat akan menghadapi kesukaran untuk dapatkan bayaran elaun tersebut. Elaun tersebut, kebiasaannya ada, akan tetapi memakan masa dan tempoh yang panjang.
  3. Teknikal. Kadang-kadang, penyediaan dokumen menjadi halangan untuk pengislaman. Tapi, nak tak nak, terpaksa dilengkapkan jua untuk mengelakkan masalah akan datang.
  4. Promosi. Setiap pusat seharusnya dibekalkan banner untuk hebahan. Juga di pihak MAIS, mengoptimumkan laman web dan juga laman sosial untuk mempromosikan pusat-pusat pengislaman.
  5. Hal-hal kebajikan mualaf. Pusat mengislamkan mualaf, kemudian rujuk/minta mualaf untuk rujuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk hal ehwal kewangan. Untuk ambe, memang mudah sebab ambe juga sebahagian dari amil kariah LZS. Jadi, ambe akan daftarkan sekali mualaf yang syahadah dengan ambe dengan LZS. Tapi bergantung kepada terma dan syarat lah. Antaranya mualaf tersebut mesti beralamat dan tinggal di Selangor sahaja. Kalau dia tinggal di KL, lepas dapat kad Islam, dia kena ke Baitulmal untuk bantuan zakat.
  6. Bukan warganegara. Prosedur pengislaman, warga asing mesti mempunyai passport dan visa/permit yang sah. Jika tak sah atau tiada, maka kami tak boleh nak daftarkan. Syahadah sahaja yang mampu. Itupun kami khuatir takut dicaj sebagai melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI). Satu lagi yang paling takut, jika sesuatu terjadi kepada mereka, contoh kematian. Nak kena bagi keterangan kat kedutaan mereka untuk pastikan mereka diuruskan dengan cara Islam. Tapi tu la, kalau takde dokumen rasmi, macam mana nak berurusan dengan kedutaan.

Inilah sebahagian hasil perbincangan dalam bengkel ni. Ambe balik dalam hujan yang lebat. Berapa kali masuk stesen minyak sebab mengantuk. huhuh…