2024.05.21
Jom sertai Saham Qurban
IBADAH QURBAN
“Sesungguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang yang bertakwa.”
Kebiasaannya menjadi tuntutan kepada umat Islam pada setiap tanggal 10 Dzulhijjah meraikan Aidil Adha sekali gus menyempurnakan ibadah qurban sesuai sunnah Nabi Ibrahim AS.
Umumnya definisi ibadah qurban ialah (udhhiyyah) iaitu menyembelih binatang ternakan samada kambing, lembu, kerbau atau unta untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Aidiladha dan tiga hari Tasyrik selepasnya.
Allah SWT memerintahkan ibadah qurban seperti mana firmanNya dalam surah al-Kauthar: 2 yang bermaksud: “Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah qurban sebagai bersyukur.”
Fokus utama ibadah qurban adalah untuk melihat sejauhmana keikhlasan dan ketakwaan kita sebagai seorang hamba, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Daging dan darah binatang qurban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu.” (Surah al-Hajj: 37)
Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis, mafhumnya: “Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Sejarah ibadah qurban yang pertama telah dirakam oleh Allah SWT dalam as-Saaffat ayat 102 yang bermaksud: “(Ibrahim berkata) Wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini – Insha Allah – tergolong dari kalangan mereka yang sabar.” (Surah as-Saffat: 102)
Antara fadhilat ibadah qurban menurut Rasulullah SAW ialah menambah amal kebajikan, sesuai dengan sabda baginda: “Qurban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Dalam hadis yang lain ibadah qurban boleh menjadi penebus dosa, Nabi SAW bersabda kepada putrinya Saidatina Fatimah RA, mafhumnya: “Hai Fatimah, berdirilah di sisi qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
Malah Rasulullah SAW juga menggalakkan kita untuk melakukan ibadah qurban bagi mendapatkan tempat yang mulia di sisi Allah. Sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.” (Hadis riwayat Thabrani)
Di samping itu, Allah SWT juga sangat menyukai amal ibadah qurban, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta’ala daripada menumpahkan darah (menyembelih qurban). Bahawa qurban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah qurban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat qurban itu dengan hati yang bersih.” (Hadith riwayat Tirmidzi)
Hadis-hadis di atas menunjukkan betapa besar fadhilat ibadah qurban di sisi Allah SWT.
Namun terdapat juga peringatan yang Allah berikan kepada mereka yang mampu untuk melakukan ibadah korban tetapi mereka tidak memilih untuk melakukannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya, sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami.”
Dalil-dalil di atas merupakan hujah kepada pensyariatan serta tuntutan Allah SWT untuk melakukan ibadah qurban.
Namun dalam keadaan ramai umat Islam meraikan ibadah qurban ini, ternyata ada segelintir pemikiran yang menganggap perbuatan mengorbankan haiwan termasuk dalam kategori tidak bermoral.
Malah mimpi Nabi Ibrahim AS berkenaan perintah untuk menyembelih anaknya Ismail AS dianggap sebagai mimpi yang bukan dari Allah SWT, tidak mungkin Allah mengeluarkan arahan kepada Nabi Ibrahim supaya membunuh anak sendiri.
Seharusnya sebagai seorang muslim kita menuntut ilmu dengan kaedah dan thuruq yang betul, bukannya dengan mentafsirkan ayat al-Quran dan hadis mengikut hawa nafsu sendiri.
Oleh itu, sebelum kita mengeluarkan apa kenyataan berkaitan dengan bidang yang luar dari kepakaran kita, maka rujuklah orang yang pakar dalam bidang tersebut, sebagai contoh sekiranya kereta kita rosak, maka seharusnya kita merujuk kepada mechanic kereta bukannya kepada pegawai perubatan. Justeru Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl: 43).
Kesimpulannya, setiap amal ibadah yang disyariatkan Allah SWT kepada hambanya adalah suatu perintah untuk menilai sejauh mana ketaatan dan kepatuhan kita sebagai seorang hamba.
Nabi Ibrahim AS memilih ketaatan dan kepatuhan kepada Allah berbanding cinta seorang ayah kepada seorang anak, maka peristiwa itu menjadi saksi kepada hebatnya pengorbanan dari ayah dan anak yang taat kepada perintah Allah SWT.
Siapa sangka ibadah qurban itu menjadi indikator untuk Allah mengukur nilai ketaatan hambanya.
Justeru itu, tunaikanlah segala perintah Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan sepenuhnya keredhaan dari Allah SWT.